Wednesday, January 9, 2013

Salah faham antara bahasa dengan patriotisme

Oleh: DR. AWANG SARIYAN
BARU-BARU ini timbul isu yang berkaitan dengan hubungan antara bahasa dengan patriotisme. Sayangnya isu itu telah dibincangkan daripada perspektif yang tidak tepat, iaitu kononnya kalangan yang memperjuangkan bahasa kebangsaan bersifat sempit dengan menolak keperluan mempelajari dan menguasai bahasa asing.
Kononnya pejuang bahasa kebangsaan mengaitkan semangat patriotik dengan penguasaan hanya satu bahasa sahaja, iaitu bahasa kebangsaan.
Persatuan Linguistik Malaysia berasa kesal atas tanggapan yang tidak tepat itu, kerana belum pernah ada pejuang bahasa kebangsaan yang menafikan peri pentingnya mempelajari dan menguasai bahasa asing yang dapat membantu meningkatkan kemajuan diri, bangsa dan negara.
Malah sebilangan besar pejuang bahasa kebangsaan di negara ini terdiri daripada mereka yang dwibahasa, iaitu menguasai bahasa kebangsaan dan sekurang-kurangnya satu bahasa asing (terutama bahasa Inggeris).
Sebagai bahasa sumber ilmu, maklumat dan teknologi, bahasa apa sekalipun perlu dipelajari dan dikuasai dan tradisi ini berlaku dalam semua tamadun besar dunia, termasuk tamadun Islam.
Pertumbuhan dan perkembangan tamadun Melayu sejak sekitar abad ke-14 sendiri pun ditandai oleh penguasaan lebih daripada satu bahasa di kalangan cendekiawan Melayu.
Oleh itu tidak ada bukti sejarah dan tidak ada kebenarannya bahawa orang yang patriotik menyempitkan fikirannya dengan hanya menerima satu bahasa sahaja.
Isu yang sebenarnya dibangkitkan oleh mereka ialah peminggiran dan penafian akan hak bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di tempat dan pada ketika yang wajar, seperti yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan, Akta Bahasa Kebangsaan, akta-akta lain, undang-undang kecil dan peraturan khusus tentang penggunaan bahasa kebangsaan dalam semua sektor, terutama dalam sektor kerajaan sendiri.
Oleh itu perjuangan mengisi Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu hendaklah dilihat sebagai perjuangan yang murni dan dihormati kerana kedua-dua dasar itu merupakan antara tonggak kewujudan negara ini.
Isu kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan lepasan sistem pendidikan di negara ini merupakan isu yang perlu ditangani dalam konteks penilaian akan keberkesanan kaedah pengajaran dan latihan perguruan yang berkaitan dengan mata pelajaran tersebut.
Kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris itu tidak ada kaitannya sama sekali dengan mitos wujudnya nasionalis dan patriotik yang menolak keperluan terhadap bahasa lain.
Persatuan Linguistik Malaysia berharap bahawa segala kenyataan yang hendak dikeluarkan mestilah didasarkan pada fakta dan kebenaran, bukan disandarkan pada khayalan atau semata-mata kerana hal itu boleh menimbulkan fitnah dan kekeliruan.
DR. AWANG SARIYAN ialah Presiden Persatuan Linguistik Malaysia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_07.htm#ixzz2HXfJ2FVI
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment