Posted on September 17, 2012, Monday
SRI AMAN:
Semangat patriotisme dant cintakan tanah air perlu diterapkan bukan
sahaja di kalangan golongan dewasa malah ia perlu dipupuk sejak
peringkat kanak-kanak lagi.Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat berkata, generasi muda seharusnya mengambil segala peluang yang ada untuk bersama-sama dengan golongan dewasa menghayati makna sebenar semangat patriotisme mahupun semangat cintakan tanah air.
“Kita mahu, golongan generasi muda kita faham dengan dua perkara ini kerana kita tidak mahu semangat tersebut luntur begitu sahaja tanpa diberi perhatian yang serius.
“Adalah perlu bagi generasi muda kita hari ini mengetahui serba sedikit perjuangan para pemimpin negara terdahulu yang banyak berkorban untuk memerdekakan negara kita sehingga apa yang kita lihat hari ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menutup rasmi Fiesta Patriotik 2012 sempena sambutan Hari Malaysia 2012 Peringkat Bahagian Sri Aman anjuran Kelab Belia Bersatu Batang Lupar-Sri Aman (KEBAS) di Stadium Mini Sri Aman malam kelmarin.
“Ini penting kerana ramai generasi muda hari ini tidak berapa tahu akan sejarah para pemimpin-pemimpin negara yang telah banyak berjasa dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air daripada cengkaman penjajah,” jelasnya.
Menurutnya, usaha untuk menyemai dan memupuk semangat cintakan tanah air di kalangan generasi muda perlu terutama bagi membangkitkan semangat patriotik yang banyak memerlukan kegigihan, kesungguhan dan ketekunan.
“Penghayatan erti kemerdekaan mahupun Hari Malaysia di kalangan generasi muda perlu dilaksanakan secara berterusan dari tahun ke tahun supaya semangat cintakan tanah air tidak luntur dan tidak dilupai rakyat.
“Nilai cintakan tanah air harus diterapkan sejak dari bangku sekolah lagi. Ini kerana generasi muda inilah yang bakal menggantikan pemimpin negara pada masa hadapan,” jelasnya.
Katanya sikap cintakan tanah air bukan hanya sekadar mengibarkan Jalur Gemilang atau berkonvoi bermotosikal seperti yang kita sering lihat setiap sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia malah semangat cintakan tanah air itu seharusnya mesti ada dalam diri kita.
Turut hadir sama pada majlis berkenaan wakil Pengurus FELCRA Berhad Sri Aman Abu Kassim, Pemanca Mas Shamsiah Maslem, Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga, Nassir Johan, Pengerusi KEBAS merangkap Pengerusi Pengelola Fiesta Patriotik 2012 dan Awang Magerib Awang Ani
Dalam pada itu, Fiesta Patriotik 2012 ini turut dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan.
No comments:
Post a Comment